Jumaat, 14 Jun 2013

Hikmah di sebalik ujian

Salam semua..hari ini saya kembali menulis lagi,cubaan untuk meng'update'apa yang tertinggal sejak kali terakhir saya meninggalkan catatan saya dalam blog ini. Kali ini saya menulis untuk berkongsi rasa,menulis sedikit pengalaman yang saya kira sebagai hikmah terbesar di sebalik ujian yang diberi olehNya. Tanpa sedar hari ini genap setahun Irfan menerima rawatan sebagai pesakit leukimia.Maha Suci Allah..saya sendiri tidak sedar betapa masa itu berlalu begitu cepat sekali.Bagaikan masih teringat hari pertama saya menerima berita bahawa Irfan disahkan menghidap leukimia. Ketika itu kaki bagai tak jejak ke bumi..sebak..sayu..risau..takut..bercampur-campur perasaan yang tidak dapat digambarkan dalam hati.Saya datang ke PPUM..menjejakkan kaki ke Wad Pediatrik Onkologi dengan minda yang kosong,tanpa sebarang pengetahuan tentang penyakit leukimia.Tapi kini,syukur kepada Allah kerana memberi saya ruang untuk menambah ilmu yang tak pernah difikirkan perlu oleh saya sebelum ini.Satu persatu hikmah yang dijanji oleh Allah hadir di sebalik ujian yang saya lalui ini. Saya mempelajari tentang penyakit leukimia.Tentang segala macam ubat kemoterapi yang mempunyai pelbagai nama. Dexamethasone,doxorubicin,daunorubicin,asparaginese,vincristine,IT mtx,6mp,6tg...antara nama-nama ubat kemoterapi yang telah dan sedang diberi kepada Irfan. Saya belajar tentang kesan-kesan rawatan kemoterapi. Irfan pernah mengalami demam,muntah-muntah berlarutan,keguguran rambut,hilang selera makan,kekurangan darah dan platlete,lemah pada saraf dan sendi,dan yang paling menakutkan bila Irfan hilang daya ingatan kesan dari rawatan kemoterapinya.Sepanjang setahun ini saya dan Irfan melaluinya,satu demi satu,hari demi hari,langkah demi langkah. Satu lagi hikmah terbesar yang diberi oleh Allah..hikmah sabar dan redha.Besarnya hikmah ini kawan-kawan..dan bila saya melaluinya sendiri,memang saya merasakan kemanisan bersabar.Mengajar diri untuk bersabar dan menerima segalanya dengan redha.Redha menghadirkan rasa tenang dan bila hati tenang,segalanya dirasakan menjadi mudah.Saya belajar sesuatu dari pemberian Allah ini,sabar dan redha bukan datang dari dalam diri saya sendiri,bukan kerana saya kuat untuk melalui semua ujian ini tapi kerana Allah Yang Maha Pengasih..atas kekuasaan dan belas ihsanNya maka dihadirkan sabar dan redha dalam diri mereka yang diberi ujianNya.Dalam setahun ini,saya bersyukur dipertemukan dengan mereka yang diuji sama seperti saya.Saya mengenali mereka,mengikat tali persahabatan dan berkongsi suka duka sepanjang perjalanan kami ini.Kami berkongsi pengalaman yang sama,perjuangan yang sama,ujian yang sama tapi tahap ketabahan yang berbeza-beza. Sungguh saya berbangga dan bersyukur mengenali mereka.Kalau saya merasakan bahawa ujian Allah terhadap saya ini sangat berat,ada lagi yang menerima ujian berkali-kali lebih berat dari saya. Dan ketabahan mereka ini berkali-kali lebih hebat daripada saya.Seorang sahabat saya diuji Allah apabila anaknya disahkan menghidap leukimia,4 tahun perjalanannya,berjuang dan berikhtiar demi kesembuhan anak,sehingga akhirnya doktor memutuskan rawatan kemoterapi anaknya tidak dapat diteruskan lagi kerana sel kanser yang kembali menyerang buat kali ketiga. Saya melihat dia bangkit semula..di saat rawatan moden tidak mampu memberi sinar harapan,Allah menghadirkan dia ketabahan demi anak tersayang.Penyerahan dan pengharapannya kepada Allah menyedarkan saya betapa itulah selayaknya kita sebagai hamba Allah,menyerahkan segala-galanya kepada Yang Maha Esa.Sahabat saya ini terus berikhtiar dan dalam masa yang sama saya belajar melalui ketabahan dia dan keluarganya..mereka redha dengan ketentuan Allah tetapi percaya bahawa kekuasaan Allah itu mengatasi segalanya. Sehingga saat saya menulis ini,anaknya masih lagi berjuang di dalam wad ini,dia dan keluarganya masih lagi berusaha dan berikhtiar,dan saya sebagai seorang sahabat mendoakan moga perjalanan anaknya dipermudahkan Allah. Sesungguhnya tiada siapa yang tahu rahsia Allah untuk hambaNya,dan tugas kita sebagai hambaNya ialah berdoa..moga perjalanan ini dipermudahkan olehNya.Seorang lagi sahabat saya juga diuji dengan ujian yang sama.Anaknya disahkan menghidap leukimia ketika berusia 2 bulan,kini usia anaknya telah menjangkau 2 tahun dan dia bersama keluarganya masih berikhtiar,meneruskan rawatan demi rawatan selepas anaknya disahkan relapse penyakit yang sama.Siapa tahu apa yang dirasakan oleh anak sekecil itu,dengan rawatan kemoterapi yang pelbagai,dia bersandarkan ketabahan dan kesabaran kedua ibu bapanya. Saya mendoakan sahabat-sahabat saya ini.Moga kami sama-sama diberkati Allah,dipimpin dan dibimbing sepanjang perjalanan kehidupan kami.Persahabatan saya bersama mereka membuatkan kami bagai terikat dengan satu perasaan yang sama.Saya merasai setiap kesedihan mereka,saya bahagia bila mereka gembira.Sesungguhnya saya bersyukur kawan-kawan,ujian ini didatangkan bersama hikmah yang tidak tergambar di mata tapi cukup terasa di dalam jiwa.Saya dikelilingi dengan keluarga yang tidak pernah letih memberi sokongan,saya punyai sahabat sejati yang sanggup menempuh suka duka perjuangan dan perjalanan hidup saya ini bersama-sama,saya ditakdirkan bersahabat dengan mereka yang punya ketabahan berlipat kali ganda dan yang paling penting saya bertuah kerana Allah menganugerahkan nikmat sabar,tabah dan redha.Setahun perjalanan ini,saya lalui dengan perasaan yang sangat luar biasa. Saya pohon doa dari kawan-kawan,iringi saya dan semua sahabat saya yang menerima ujian ini dengan doa kalian. Mudah-mudahan dengan doa itu,perjalanan kami dipermudahkan dan diberkati Ilahi. Rawatan kemoterapi Irfan dijangka tamat selepas hari raya nanti. Selepas itu Irfan masih perlu menerima rawatan sebulan sekali tetapi kemungkinan besar akan dibenarkan untuk kembali ke sekolah semula.Sekali lagi,doakan untuk Irfan kawan-kawan,dia rindukan suasana persekolahan yang terpaksa ditinggalkan.Doakan moga kegembiraan itu hadir kembali dalam dirinya. Doakan kami..saya mohon sekali lagi..doakan kami...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan