Jumaat, 14 Jun 2013

Hikmah di sebalik ujian

Salam semua..hari ini saya kembali menulis lagi,cubaan untuk meng'update'apa yang tertinggal sejak kali terakhir saya meninggalkan catatan saya dalam blog ini. Kali ini saya menulis untuk berkongsi rasa,menulis sedikit pengalaman yang saya kira sebagai hikmah terbesar di sebalik ujian yang diberi olehNya. Tanpa sedar hari ini genap setahun Irfan menerima rawatan sebagai pesakit leukimia.Maha Suci Allah..saya sendiri tidak sedar betapa masa itu berlalu begitu cepat sekali.Bagaikan masih teringat hari pertama saya menerima berita bahawa Irfan disahkan menghidap leukimia. Ketika itu kaki bagai tak jejak ke bumi..sebak..sayu..risau..takut..bercampur-campur perasaan yang tidak dapat digambarkan dalam hati.Saya datang ke PPUM..menjejakkan kaki ke Wad Pediatrik Onkologi dengan minda yang kosong,tanpa sebarang pengetahuan tentang penyakit leukimia.Tapi kini,syukur kepada Allah kerana memberi saya ruang untuk menambah ilmu yang tak pernah difikirkan perlu oleh saya sebelum ini.Satu persatu hikmah yang dijanji oleh Allah hadir di sebalik ujian yang saya lalui ini. Saya mempelajari tentang penyakit leukimia.Tentang segala macam ubat kemoterapi yang mempunyai pelbagai nama. Dexamethasone,doxorubicin,daunorubicin,asparaginese,vincristine,IT mtx,6mp,6tg...antara nama-nama ubat kemoterapi yang telah dan sedang diberi kepada Irfan. Saya belajar tentang kesan-kesan rawatan kemoterapi. Irfan pernah mengalami demam,muntah-muntah berlarutan,keguguran rambut,hilang selera makan,kekurangan darah dan platlete,lemah pada saraf dan sendi,dan yang paling menakutkan bila Irfan hilang daya ingatan kesan dari rawatan kemoterapinya.Sepanjang setahun ini saya dan Irfan melaluinya,satu demi satu,hari demi hari,langkah demi langkah. Satu lagi hikmah terbesar yang diberi oleh Allah..hikmah sabar dan redha.Besarnya hikmah ini kawan-kawan..dan bila saya melaluinya sendiri,memang saya merasakan kemanisan bersabar.Mengajar diri untuk bersabar dan menerima segalanya dengan redha.Redha menghadirkan rasa tenang dan bila hati tenang,segalanya dirasakan menjadi mudah.Saya belajar sesuatu dari pemberian Allah ini,sabar dan redha bukan datang dari dalam diri saya sendiri,bukan kerana saya kuat untuk melalui semua ujian ini tapi kerana Allah Yang Maha Pengasih..atas kekuasaan dan belas ihsanNya maka dihadirkan sabar dan redha dalam diri mereka yang diberi ujianNya.Dalam setahun ini,saya bersyukur dipertemukan dengan mereka yang diuji sama seperti saya.Saya mengenali mereka,mengikat tali persahabatan dan berkongsi suka duka sepanjang perjalanan kami ini.Kami berkongsi pengalaman yang sama,perjuangan yang sama,ujian yang sama tapi tahap ketabahan yang berbeza-beza. Sungguh saya berbangga dan bersyukur mengenali mereka.Kalau saya merasakan bahawa ujian Allah terhadap saya ini sangat berat,ada lagi yang menerima ujian berkali-kali lebih berat dari saya. Dan ketabahan mereka ini berkali-kali lebih hebat daripada saya.Seorang sahabat saya diuji Allah apabila anaknya disahkan menghidap leukimia,4 tahun perjalanannya,berjuang dan berikhtiar demi kesembuhan anak,sehingga akhirnya doktor memutuskan rawatan kemoterapi anaknya tidak dapat diteruskan lagi kerana sel kanser yang kembali menyerang buat kali ketiga. Saya melihat dia bangkit semula..di saat rawatan moden tidak mampu memberi sinar harapan,Allah menghadirkan dia ketabahan demi anak tersayang.Penyerahan dan pengharapannya kepada Allah menyedarkan saya betapa itulah selayaknya kita sebagai hamba Allah,menyerahkan segala-galanya kepada Yang Maha Esa.Sahabat saya ini terus berikhtiar dan dalam masa yang sama saya belajar melalui ketabahan dia dan keluarganya..mereka redha dengan ketentuan Allah tetapi percaya bahawa kekuasaan Allah itu mengatasi segalanya. Sehingga saat saya menulis ini,anaknya masih lagi berjuang di dalam wad ini,dia dan keluarganya masih lagi berusaha dan berikhtiar,dan saya sebagai seorang sahabat mendoakan moga perjalanan anaknya dipermudahkan Allah. Sesungguhnya tiada siapa yang tahu rahsia Allah untuk hambaNya,dan tugas kita sebagai hambaNya ialah berdoa..moga perjalanan ini dipermudahkan olehNya.Seorang lagi sahabat saya juga diuji dengan ujian yang sama.Anaknya disahkan menghidap leukimia ketika berusia 2 bulan,kini usia anaknya telah menjangkau 2 tahun dan dia bersama keluarganya masih berikhtiar,meneruskan rawatan demi rawatan selepas anaknya disahkan relapse penyakit yang sama.Siapa tahu apa yang dirasakan oleh anak sekecil itu,dengan rawatan kemoterapi yang pelbagai,dia bersandarkan ketabahan dan kesabaran kedua ibu bapanya. Saya mendoakan sahabat-sahabat saya ini.Moga kami sama-sama diberkati Allah,dipimpin dan dibimbing sepanjang perjalanan kehidupan kami.Persahabatan saya bersama mereka membuatkan kami bagai terikat dengan satu perasaan yang sama.Saya merasai setiap kesedihan mereka,saya bahagia bila mereka gembira.Sesungguhnya saya bersyukur kawan-kawan,ujian ini didatangkan bersama hikmah yang tidak tergambar di mata tapi cukup terasa di dalam jiwa.Saya dikelilingi dengan keluarga yang tidak pernah letih memberi sokongan,saya punyai sahabat sejati yang sanggup menempuh suka duka perjuangan dan perjalanan hidup saya ini bersama-sama,saya ditakdirkan bersahabat dengan mereka yang punya ketabahan berlipat kali ganda dan yang paling penting saya bertuah kerana Allah menganugerahkan nikmat sabar,tabah dan redha.Setahun perjalanan ini,saya lalui dengan perasaan yang sangat luar biasa. Saya pohon doa dari kawan-kawan,iringi saya dan semua sahabat saya yang menerima ujian ini dengan doa kalian. Mudah-mudahan dengan doa itu,perjalanan kami dipermudahkan dan diberkati Ilahi. Rawatan kemoterapi Irfan dijangka tamat selepas hari raya nanti. Selepas itu Irfan masih perlu menerima rawatan sebulan sekali tetapi kemungkinan besar akan dibenarkan untuk kembali ke sekolah semula.Sekali lagi,doakan untuk Irfan kawan-kawan,dia rindukan suasana persekolahan yang terpaksa ditinggalkan.Doakan moga kegembiraan itu hadir kembali dalam dirinya. Doakan kami..saya mohon sekali lagi..doakan kami...

Rabu, 13 Mac 2013

My wonderful journey...

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang... Salam untuk semua.Hari ini 12hb Mac 2013,hati saya terdetik untuk berkongsi sesuatu.Kembali menulis di blog saya yang tidak seberapa ini untuk berkongsi sedikit pengalaman yang diberi oleh Dia kepada saya.Waktu ini saya berada di wad sekali lagi menemani Irfan.Tanpa sedar,perjalanan saya dan Irfan telah mencecah 8 bulan.Kami berulang-alik ke hospital,minggu demi minggu dan kini telah 8 bulan Irfan menerima rawatan di PPUM.Saya tau perjalanan kami masih jauh,bertatih perlahan-lahan,sedikit demi sedikit,namun saya bersyukur kerana Allah beri kami ketabahan dan kesabaran untuk mengharunginya.Setiap kali saya berada di wad,saya akan ambil peluang untuk belajar sesuatu di sini.Satu yang saya pasti,ramai lagi hamba Allah yang lebih besar ujiannya,lebih tabah dan lebih kuat dari saya.Di sini saya belajar erti syukur.Sesungguhnya masih ramai yang lebih berat ujiannya berbanding apa yang saya lalui sekarang ini.Dan jauh di sudut hati,saya berdoa semoga mereka turut diberi ketabahan dan kekuatan untuk menempuhi ujian Allah ini.Permulaan tahun 2013 ini saya diuji lagi olehNya.Satu per satu ujian Allah itu hadir dan menuntut saya agar lebih kuat dan tabah setiap masa. Benarlah apa yang selalu dikata,sebaik-baik dan sehebat-hebat perancangan adalah perancangan Allah SWT.Dan saya redha apabila perancangan Allah mengatasi segala-galanya. Sebenarnya saya merancang untuk kembali bertugas pada tahun ini setelah saya bercuti separuh gaji sejak bulan Jun tahun lepas. Apa yang berlaku ialah saya hanya sempat ke sekolah selama 2 hari kerana Irfan dimasukkan ke wad akibat demam.Kali ini demam Irfan lebih menguji saya. Pada hari saya tinggalkan Irfan di wad seketika untuk bertugas di sekolah,ujian Allah itu hadir. Sebelum saya pergi,Irfan nampak sihat,demam beransur pulih dan dia nampak gembira dan ketawa bersama sepupunya. Namun bila saya kembali semula ke wad,Irfan lupa saya ibunya.Matanya nampak seperti orang yang hilang arah. Pertuturannya sukar difahami. Dia bercakap tetapi tiada siapa yang memahami butir-butir percakapannya.Air mata saya gugur laju bila doktor bertanya Irfan mana ibu,dan dia menjawab "tak tahu".Sedangkan ketika itu saya berdiri di sebelah Irfan sambil memegang tangannya.Waktu itu memang tubuh saya lemah longlai.Tak terungkap dengan perkataan perasaan saya ketika itu.Saya tinggalkan dia kurang dari 2 jam,dan bila saya bertemu dia semula,dia langsung tidak kenal saya ibunya.Dia seolah-olah tidak kenal siapa saya,tidak tahu dia berada di mana dan paling menakutkan saya,Irfan tidak tahu menyebut perkataan 'ibu'.Hari itu juga Irfan dibawa menjalani CT Scan.Dia disyaki mengalami pendarahan atau jangkitan kuman di dalam otak. Saya berusaha mengumpul sisa-sisa ketabahan yang ada,bangkit semula untuk menemani Irfan menjalani rawatan demi rawatan demi mencari punca mengapa Irfan seperti hilang ingatan.Esoknya Irfan menjalani prosedur pengambilan air tulang belakang untuk mengesan sekiranya ada jangkitan kuman di dalam otak.Saya benar-benar berserah kepada Allah ketika itu.Lemah kerana tidak berdaya dan tidak mampu berbuat apa-apa.15 hari kami di hospital dan syukur kepada Allah,ingatan Irfan kembali pulih.Dia menjalani rawatan ECG dan MRI untuk mengesan sebarang aktiviti yang tidak normal di otak dan Alhamdulillah segala-galanya masih baik.Doktor akhirnya membuat rumusan,punca Irfan mengalami gangguan ingatan adalah disebabkan oleh kesan sampingan dari rawatan kemoterapinya selama ini. Sejak kejadian itu,saya mengambil keputusan untuk menyambung semula cuti separuh gaji saya.Pengalaman ini benar-benar menyedarkan saya.Saya bagaikan kehilangan Irfan seketika bila dia lupa saya ibunya.Biarlah saya bercuti sementara dari bertugas demi satu-satunya Irfan yang saya ada.Sejak kejadian itu,Allah berterusan menguji kami.Sesungguhnya di setiap ujian Allah itu saya berusaha untuk menempuhinya dengan redha.Sebab dengan redha,hati saya kembali tenang.Kemoterapi yang dilalui Irfan kali ini menyebabkan dia kerap dimasukkan ke wad kerana demam dan kekurangan darah.Minggu lalu Irfan dimasukkan ke wad kerana demam selama 4 hari,pulang ke rumah selama 6 hari dan hari ini dia dimasukkan semula ke wad kerana demam lagi. Kami diuji lagi kali ini kerana Irfan demam berpunca dari jangkitan kuman di dalam darahnya.Doktor mengesahkan 'chemo port' Irfan dijangkiti kuman dan esok doktor akan menjalankan prosedur menanggalkan 'chemo port' tersebut.Rawatan kemoterapi Irfan ditangguhkan seketika sehingga Irfan sihat dan bebas dari jangkitan kuman.Sekali lagi perancangan Allah itu mengatasi segalanya.Saya sebenarnya merancang untuk kembali bertugas selepas cuti separuh gaji saya tamat awal Mac ini.Namun saya mengambil keputusan untuk menyambung cuti tanpa gaji pula selepas ini memandangkan kondisi Irfan yang tidak mengizinkan saya untuk kembali bekerja.Saya serahkan segala-galanya kepada Yang Maha Esa.Ada yang kurang bersetuju apabila saya mengambil cuti tanpa gaji,tapi kalau diberi pilihan antara anak dan kerjaya,saya pasti semua tahu akan jawapannya.Doa saya agar perjalanan kami selepas ini dipermudahkan Allah,dimurahkan rezeki dan semoga ketabahan dan kesabaran itu masih bersama kami.Irfan dunia saya,dan saya dunia Irfan.Selagi Allah memberi keizinanNya,saya dan Irfan akan terus melangkah perlahan-lahan dalam perjuangan kami ini.Saya bersyukur kerana dunia Irfan dikelilingi dengan kasih sayang yang tidak pernah malap.Dia kehilangan satu ruang,namun ruang itu bagaikan tertutup apabila masih ramai yang sudi menyayangi dan mengasihi Irfan seadanya.Saya yakin Allah Maha Adil,Maha Agung dan Maha Bijaksana.Sekali lagi doakan kami kawan-kawan.Perjalanan saya dan Irfan masih jauh.Iringi kami dengan doa kalian agar kami terus kuat dan tabah sepanjang perjalanan kami ini.Amin Ya Rabbal Alamin..

Khamis, 4 Oktober 2012

Bila dia bersuara..

Salam untuk semua. Hari ini hari keempat saya dan Irfan berada di dalam wad. Sesuatu yang telah menjadi rutin dan kebiasaan bagi kami untuk berada di sini setiap kali Irfan menjalani rawatan kemoterapi. Rawatannya telah memasuki protokol yang ketiga yang disebut sebagai M Protocol. Semalam adalah hari yang agak sibuk bagi saya kerana Irfan mengalami kesan sampingan yang agak teruk selepas dia menjalani rawatan IT nya. Seperti yang pernah disebut dalam tulisan saya sebelum ini, rawatan IT adalah rawatan kemoterapi yang memerlukan doktor menyuntik ubat kemoterapinya ke bahagian tulang belakang Irfan. 3 jam selepas Irfan menjalani rawatan itu, dia mula muntah-muntah. Dan saya memang telah bersedia dengan keadaan ini kerana inilah kesan sampingan yang kerap dialami oleh Irfan setiap kali dia mendapat rawatan IT. Suhu badannya agak tinggi semalam tetapi menjelang malamnya suhu badan Irfan kembali normal. Alhamdulillah..... mungkin kesan ubat tersebut telah berkurangan. Dia nampak agak letih kerana kerap muntah tetapi masih mampu senyum dan ketawa melayani cerita-cerita kartun di tablet kesayangannya. Alhamdulillah hari ini Irfan lebih sihat dan segar dari semalam. Kami masih belum dibenarkan pulang kerana Irfan masih perlu dipantau oleh doktor. Ada beberapa perkara yang masih perlu dilakukan berkaitan rawatannya sebelum Irfan dibenarkan pulang. Seperti biasa, hari ini dia senyum dan ketawa bersama saya melayani cerita Karoot Komedia X di tabletnya. Kemudian saya biarkan Irfan melayani ceritanya sendirian. Tiba-tiba, Irfan bersuara.."bu,Ipan takut bila kemo ni dah abis nanti.." Saya pandang Irfan. "Kenapa cakap macam tu pulak?" saya cuba menyembunyikan rasa sebak dalam hati ini. "Sebab ramai anak-anak dalam wad..." dia berhenti seketika dan memandang wajah saya."meninggal dunia lepas habis kemo..." sambung Irfan dalam nada yang perlahan tapi cukup menyentuh jiwa saya."Ipan selalu dengar orang cerita dengan ibu pasal tu..Ipan takut.." Saya terdiam bila dia bersuara. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya waktu itu. Bercampur-campur dengan bermacam jenis perasaan."Ipan lain..tak sama macam yang Ipan dengar tu, anak ibu kuat kan.." akhirnya saya bersuara,mencari ketenangan untuk dia dan diri sendiri. Irfan angguk dan senyum dengan kata-kata saya. Selepas itu dia kembali ceria bermain dengan tabletnya. Bagaikan tiada apa yang telah berlaku. Saya mencari ketenangan dalam jiwa saya yang mula sebak dengan kata-kata Irfan tadi. Mungkin Irfan selalu terdengar saya bercerita tentang kisah-kisah itu dan dia amat memahaminya.Sekali lagi saya memaksa diri berlawan dengan kelemahan mental saya. Memujuk dan memotivasi diri sendiri. Meletakkan sepenuh keyakinan dan pengharapan kepada Dia Yang Maha Berkuasa.Semoga Irfan berjaya mengharungi semua ini. Sesungguhnya saya sedar betapa kerdil dan lemahnya saya apabila tidak mampu berbuat apa-apa. Saya akan terus berdoa untuk Irfan. Dan bersangka baik kepada Allah..sesungguhnya Allah akan memakbulkan doa seorang ibu kepada anaknya.Amin...

Selasa, 2 Oktober 2012

Kembara satu perjuangan

Salam untuk semua.Hari ini,2hb Oktober 2012,genap 3 bulan 17 hari sejak Irfan pertama kali disahkan mengidap leukimia.Hari ini juga,hati saya terdetik untuk berkongsi sesuatu di blog ini setelah sekian lama tenggelam dalam kesibukan menguruskan rawatan Irfan di PPUM. Sewaktu saya menulis ini pun,saya berada di Wad Pediatrik Onkologi PPUM untuk menemani Irfan menjalani rawatan kemoterapinya.Siapa sangka bahawa kehidupan saya dan Irfan akan berubah serta-merta. Dulu saya sibuk dengan kehidupan sebagai seorang pendidik,kini saya sibuk pula dengan kehidupan sebagai seorang jururawat@doktor peribadi untuk Irfan.Saya akan kembali sebagai pendidik,itu memang pasti tetapi saya akan biarkan keadaan dan masa yang akan menentukan. Buat masa sekarang,biar Irfan menjadi keutamaaan. Siapa sangka yang kehidupan di dalam wad telah menjadi sebahagian dalam hidup saya sekarang ini. Boleh dikatakan bahawa Wad Pediatrik Onkologi telah menjadi rumah kedua bagi saya dan Irfan.Sejak 3 bulan yang lalu,di sinilah tempat saya dan Irfan berulang-alik.Wad,hospital,saya,Irfan..kami bagaikan tidak boleh dipisahkan lagi.Terikat dan diikat..tapi saya sedar tentang satu perkara,belajarlah dengan kehidupan,menerima dengan tenang dan sabar dalam perjuangan.Perlahan-lahan saya mula menerima dan belajar dengan takdir ini.Sukar sebenarnya tetapi apabila hati mula menerima,keadaan menjadi makin tenang dan terurus. Memang itu doa saya kepada Dia,berikan saya kekuatan,ketenangan dan ketabahan dalam perjuangan ini.Sebab Irfan perlukan saya dalam dunianya yang dikelilingi dengan segala jenis ubat.Tiada siapa yang tahu apa yang ada dalam fikiran seorang anak kecil seperti Irfan setiap kali dia berhadapan dengan rawatan kemoterapinya. Tiada siapa yang dapat mengagak sejauh mana ketabahan dan kekuatan dia dalam menghadapi semua takdir Allah untuknya, dan kerana itulah saya perlu 1000 kali lebih kuat,tabah dan tenang untuk dia.Biar saya turut merasai segala perasaan yang tidak dapat digambarkan oleh Irfan. Satu perkara yang saya belajar sepanjang saya dan Irfan berada di dalam wad,kita perlu sentiasa kuat,mental dan fizikal.Saya tidak terlalu risau dengan keadaan fizikal saya kerana banyak yang boleh dilakukan untuk memastikan fizikal saya terjaga. Telanlah vitamin dan jaga pemakanan,insyaAllah fizikal saya akan ok. Yang menjadi kerisauan saya ialah kekuatan mental,dan saya akui saya telah banyak kali dikalahkan oleh kelemahan saya menguruskan mental saya sendiri. Bayangkan bila setiap kali saya berada di dalam wad bersama Irfan, mental saya akan mula ditekan dengan pelbagai cerita sedih tentang anak-anak yang mengidap penyakit sama seperti Irfan. Ada cerita tentang anak yang telah tamat rawatannya tetapi kembali semula ke hospital kerana 'relapse'.Ada cerita tentang anak yang telah berkali-kali 'relapse',berulang-alik ke hospital selama 9 tahun untuk mendapatkan rawatan dan sehingga kini masih tidak sembuh dari penyakitnya. Ada cerita tentang anak yang telah tamat rawatannya,kembali semula ke hospital selepas 2 tahun sihat dan sembuh sepenuhnya, disahkan sakit semula dan akhirnya meninggal dunia.Ya Tuhan..mental saya gagal untuk bertahan bila cerita-cerita ini dikongsi bersama saya. Bukan saya yang mencari cerita tetapi itu realiti yang perlu saya hadapi bila saya berada di dalam wad. Dan bila saya gagal menangani mental saya, fikiran akan mula sesak dan sebak. Hingga ke hari ini saya masih belajar menangani mental saya yang lemah ini. Dan sesungguhnya ia amat sukar kerana berdepan dengan realiti kehidupan dalam wad. Ya Allah,moga kekuatan ini akan hadir juga walaupun ia datang perlahan-lahan.Amin.. Doakan saya,kawan-kawan..sesungguhnya itu yang sangat saya perlukan ketika ini.Doakan agar saya terus tabah dan tenang melalui semua ini. Esok Irfan akan menjalani rawatan IT Methotrexate (sejenis ubat kemoterapi yang disuntik ke tulang belakang) dan BMA (pengambilan semula air sum sum tulang). Mudah-mudahan Allah permudahkan segala urusannya esok. Semoga Allah melindungi Irfan dan saya dalam setiap langkah kami. Sekali lagi saya pinta...doakan kami,doakan kami,doakan kami....

Selasa, 10 Julai 2012

Andai itu takdirnye....

Salam untuk semua.. Akhirnye saya diberi kesempatan dan sedikit ruang untuk mula menulis sesuatu di blog yg telah sekian lama tidak di'update'.Selama ini mungkin tiada sebarang cerita untuk dikongsi tetapi akhirnya ia datang secara tiba-tiba.Tanpa saya duga dan tanpa sesiapa pun menyangka bahawa cerita itu akan membawa saya menerokai sebuah pengalaman yg mungkin bukan semua org dapat melaluinya. Buat teman-teman yang masih tertanya-tanya apa sebenarnye yang sedang saya lalui,saya di sini ingin berkongsi kisah ini dengan anda semua. Nik Muhammad Irfan....semua orang tahu bahawa dialah satu-satunya harta saya,nyawa saya,dunia saya dan segala bahagia dan duka saya ada pada dia.Semuanya bermula pada hujung Disember 2011 apabila Irfan tiba-tiba sakit.Siangnya dia aktif seperti biasa tetapi menjelang malam dia tiba-tiba demam dan mengadu sakit pada kebanyakan sendi.Sakit Irfan ini berlarutan.Kadang-kadang sehingga seminggu lamanya dia demam, sihat semula dalam masa seminggu dan demam semula seminggu kemudiannya. Saya bawa Irfan ke klinik kerajaan di Tampin,hasil pemeriksaan, doktor mengatakan Irfan kekurangan air dalam badan dan bacaan sel darah merah yang sedikit rendah.Seminggu kemudian Irfan sakit lagi.Saya tidak menunggu lama lalu saya bawa Irfan ke sebuah hospital swasta di Melaka. Sejak itu saya berulang alik ke sana hampir setiap minggu bermula bulan Januari hingga Mei untuk rawatan Irfan. Doktor pakar mengatakan Irfan mengidap penyakit Still's Disease.Kata doktor, penyakit ini menyerang sendi-sendi mengakibatkan demam dan anemia(penyakit kekurangan sel darah merah).Sejak itu ubat Irfan sering bertukar-tukar. Cuma yg menjadi kebimbangan saya, ubat yang diberi kepada Irfan hanyalah ubat tahan sakit. Kata doktor, penyakit ini belum ada ubat yang khusus untuknya,yang ada hanyalah ubat tahan sakit.Sebutlah apa jenis ubat tahan sakit yang Irfan tidak pernah makan sejak dia dirawat di hospital tersebut. Ibuprofen,aspirin,steroid...semua telah diberi kepada Irfan.Tapi hati saya bimbang.Sampai bila Irfan akan bergantung kepada ubat tahan sakit?Kenapa penyakit ini masih tiada ubat yang khusus untuknya?Saya berusaha mengumpul sebanyak maklumat tentang penyakit Still's Disease di internet tapi hati saya tetap risau. Melihat Irfan yang masih sakit walaupun telah diberi pelbagai jenis ubat menyebabkan saya mula meragui tentang penyakit sebenar Irfan.Saya mula mendapatkan pandangan dari ahli keluarga dan teman-teman. Alhamdulillah, akhirnya Allah menggerakkan hati saya untuk bertukar ke hospital lain bagi mendapatkan second opinion dari doktor yang lain. Hospital Tuanku Ampuan Najihah,Kuala Pilah...di sini perjalanan yang tidak diduga itu bermula.Saya bawa Irfan berjumpa doktor pakar kanak-kanak di sana.Terima kasih kepada sahabat saya,Marzirah bt Ibrahim yang banyak membantu saya sepanjang Irfan berada di sana.Doktor mengarahkan Irfan dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan lanjutan. Sampel darahnya diambil untuk penyiasatan.Hasil ujian darah,Irfan didapati tidak menghidap penyakit Virus Kencing Tikus,Malaria,jangkitan kuman dalam darah dan penyakit SLE. Tetapi doktor masih ingin membuat beberapa ujian darah lagi untuk mengenalpasti punca sebenar penyakit Irfan. Saya bersetuju walaupun saya tahu ia mengambil sedikit masa, mungkin seminggu,mungkin sebulan,saya akan tetap menunggu asalkan saya dapat mengetahui penyakit sebenar Irfan. Irfan akhirnya dibenarkan keluar dari wad sementara menunggu keputusan ujian-ujian darah yang lain kerana sampel darah Irfan terpaksa dihantar ke Hospital Seremban dan HKL untuk diuji di sana. Dua hari kemudian Irfan sakit semula. Dia diserang demam dan sakit-sakit pada sendi lutut dan dada. Saya ke Hospital Kuala Pilah semula dan doktor mengarahkan sampel darah Irfan diambil sekali lagi.Menjelang petang saya menerima berita yang sangat mengejutkan.Doktor mengatakan bahawa terdapat bacaan yang tidak normal pada ujian darah Irfan.Dan ayat inilah yang menyebabkan air mata saya mengalir laju tanpa dipinta.. "Ibu(doktor memang memanggil saya dengan panggilan ini), Nik Muhammad Irfan disyaki mengidap penyakit leukimia. Kemungkinan besar pihak makmal tidak dapat mengesan penyakit ini sebelum ini kerana anak ibu telah diberi ubat steroid sebelum ini oleh doktor yang terdahulu. Pengambilan steroid sebelum penyakit sebenar dikenalpasti boleh menyebabkan penyakit seperti tersembunyi dan menyebabkan ia gagal dikesan. Untuk mengesahkan ia, saya ingin meminta kebenaran ibu untuk membenarkan kami mengambil air sum-sum tulang Irfan.Itulah cara yang paling tepat untuk mengesahkan anak ibu mengidap leukimia atau tidak". Ya Allah..jantung saya bagaikan terhenti seketika.Saya peluk Irfan kuat-kuat.Air mata saya mengalir laju. Tuhan,mengapa saya?Mengapa Irfan?Saya jadi lemah,mula menyalahkan takdir.Irfan pandang saya dan dia mula menangis."Bu,kenapa bu?Kenapa ibu nangis?Ipan sakit apa bu?"Irfan tanya saya berulang kali. Saya peluk dia lagi. Esoknya,13hb Jun 2012,saya membenarkan doktor mengambil air sum-sum tulang Irfan untuk diuji dan pada 14hb Jun 2012,hari Khamis jam 12 tengahari doktor mengesahkan Irfan mengidap penyakit leukimia. Berulang kali saya berusaha memotivasikan diri. Menerima dengan redha segala ketentuan Ilahi tetapi saat doktor menyebut perkataan Irfan disahkan mengidap leukimia,air mata saya gugur lagi.Badan terasa sangat lemah sehingga saya tidak boleh berdiri. Malam itu juga Irfan dimasukkan terus ke wad Pediatrik Onkologi Pusat Perubatan Universiti Malaya. Dan disinilah perjuangan saya dan Irfan bermula. Doktor mengesahkan Irfan menghidap penyakit Acute Lymphoctic Leukimia (ALL), sejenis penyakit kanser darah yang paling biasa menyerang kanak-kanak.Tempoh rawatan Irfan memakan masa antara 1 hingga 2 tahun. Dia akan menjalani rawatan kemoterapi dan ini menyebabkan Irfan tidak boleh ke sekolah sekurang-kurangnya setahun kerana kesan rawatan kemoterapi menyebabkan sistem imunisasi Irfan tidak kuat untuk melawan penyakit. Segala-galanya telah berubah bagi saya. Perjalanan hidup saya telah berubah serta merta. Saya kini mengambil cuti sepenuh masa untuk menjaga Irfan. Sebelum ini saya sering berdoa agar Allah berikan saya petunjuk tentang penyakit sebenar Irfan. Allah telah memakbulkan doa saya dan kini saya memohon kepada Allah agar saya terus diberi kekuatan dan ketabahan untuk berjuang bersama Irfan. Moga Allah terus memberkati perjalanan hidup saya dan Irfan selepas ini.Moga suatu hari nanti,dengan izin Allah saya akan mendapat kembali Irfan saya yang dahulu. Irfan yang ceria, aktif dan bijak. Saya telah mula menerima takdir ini dengan redha.Andai ini takdirNya untuk saya,saya berdoa agar hati dan jiwa saya terus tenang dan tabah. Satu yang saya telah mula pelajari,bukan semua orang dapat merasai pengalaman yang sedang saya lalui ini.Sesungguhnya saya bersyukur kerana pengalaman ini membuka minda saya tentang sesuatu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Dan sekarang saya boleh berkongsi rasa dan kisah saya untuk dipelajari oleh orang lain.InsyaAllah,jika ada kelapangan saya akan update blog saya lagi. Doakan untuk Irfan..Moga ada sinar untuk dia di penghujung hari nanti.Amin....

Isnin, 19 September 2011

Andai itu takdirnya...

Salam. Lama saya tidak meng'update' blog ni.Sibuk sikit dan sebenarnye tiada bahan utk dikongsi. Tapi hari ini, hati bagai terpanggil untuk share something yang saya dapat dari ILUVISLAM.Portal yang selalu memberi motivasi buat jiwa saya yang kadang2 dilanda duka..So, saya kongsi dengan semua. Moga ia turut mengubat hati-hati 'mereka' yang sedang berduka lara...

ANDAI ITU TAKDIRNYA

Andai itu takdirnya terimalah seadanya. Sudah tentu terselit hikmah disebalik musibah. Cuba kita perhatikan bunga mawar yang mekar kemerahan, sungguh cantik. Namun awas durinya mampu melukakan kita. Begitulah setiap yang indah bukannya mampu diraih dengan mudah namun perlu meredah berbagai mehnah, gunung perlu didaki lurah perlu dituruni. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Kadangkala kita sering lupa bahawa kita hanyalah hamba di bumi tuhan.Tidak layak kita membantah takdirnya. Namun kekadang tersungkur jua. Hati dalaman membentak ganas. "Mengapa tuhan?" Jika begitu cepat-cepatlah kembali kepada fitrah. Kita hanyalah seorang hamba tumpangan yang singgah sebentar menyemai amal untuk hari yang dijanjikan tuhan.

Andai kita diuji dengan kematian orang yang kita sayangi, jangan terlalu bersedih doakanlah untuknya. Sampai masa kita pula menyusul.

Andai kita diuji dengan sebuah perpisahan, yakinlah jika kita tidak berjumpa di dunia. Insya-Allah di syurga yang kekal abadi.

Andai kita diuji dengan kemiskinan bersyukurlah kita masih lagi mampu bernafas di bumi tuhan. Jadi banyakkanlah amal supaya kita kaya di sana.

Andai kita diuji dengan kesenangan. Ucaplah Alhamdulillah akan aku agihkan rezeki tuhan kepada yang memerlukan.

Andai kita diuji dengan kesusahan janganlah goyah. Sahutlah cabaran dengan hati yang gagah kerna itu yang mendewasakan kita dalam musafir panjang.

Wahai sahabat andai itu takdirnya. Terimalah seadanya. Janganlah berkeluh lalu lumpuh. Ayuh kita semarakkan perjuangan di bumi tuhan agar kita mendapat manfaatnya di hari kemudian. Setiap musibah ada hikmah. Ubat itu pahit namun menyembuhkan. Jika ingin ke puncak mesti mendaki. Bukannya hanya merenung tanpa bertindak. Yakin akan janjinya. Tuhan tidak pernah berdusta.

Sabtu, 16 Julai 2011

Betul ke tahlil bidaah?

Saya ade terdengar beberapa org kawan yg berbincang tentang amalan kenduri tahlil.Yg mengejutkan saya,ade yg mengatakan amalan ni "sehina-hina" amalan..adoi..takutnye saya bila ade di kalangan kita yg berani meletakkan hukum.Saya google lah ckit utk cari pandangan ttg amalan tahlil ni, and ini yg saya jumpa & nak dikongsi dgn semua...

MAJORITI ulama dunia menerima tahlil sebagai amalan yang membolehkan pahala ibadat ini disedekahkan kepada orang yang telah meninggal dunia.

Meskipun terdapat pandangan berbeza mendakwa tahlil sebagai bidaah (amalan ibadat sekarang yang tidak ada secara khusus dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW), ulama terkemuka menerima konsep tahlil.

Pensyarah Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr Luqman Abdullah, berkata tahlil atau sebarang perkataan yang merujuk kepada kalimah 'tiada Tuhan melainkan Allah' dilakukan di kebanyakan dunia Islam
Katanya, tahlil berjemaah sudah sebati dalam masyarakat Islam negara ini, terutama apabila berlaku kematian, malah kini menjadi program rasmi peringkat negara untuk menyambut perayaan tertentu.

“Sebenarnya ulama dunia seperti Mufti Besar Dr Luqman berkata, prinsip tahlil ialah pahala ibadat ini disedekahkan kepada si mati dan ini juga adalah pandangan majoriti ulama. Mesir, Sheikh Ali Gomaa, mengakui bahawa memang ada konsep tahlil dalam Islam. Bukan beliau saja, kebanyakan ulama lain mempunyai pandangan sama,” katanya.

Beliau berkata, tahlil juga adalah aktiviti sosial bermanfaat kerana umat Islam berkumpul dan berzikir untuk mengingati Allah.

“Saya tidak nampak ada masalah dari segi hukum syarak. Mungkin perbezaan dari segi tempat seperti bertahlil di Malaysia dan Indonesia tidak sama dari segi cara. Perbezaan ini lebih kepada faktor budaya, tetapi prinsip amalan tetap sama,” katanya.

Dr Luqman berkata, prinsip tahlil ialah pahala ibadat ini disedekahkan kepada si mati dan ini juga adalah pandangan majoriti ulama.
Katanya, ulama terkenal Arab Saudi, Sheikh Sayyid Muhammad Alawi, menyatakan bahawa orang yang meninggal dunia boleh mendapat manfaat daripada amalan soleh orang yang masih hidup, tetapi bentuk manfaat itu tidak diketahui. Terserah kepada Allah. Mungkin manfaat dalam bentuk pahala dan atau dosa diringankan. Prinsipnya adalah sampai kepada si mati,” katanya.

Beliau tidak menafikan ada yang menganggap tahlil sebagai bidaah, tetapi jika dilihat dari sudut ini, ini bermakna banyak perkara yang dilakukan umat Islam sekarang adalah bidaah.

“Kita tidak boleh menghukum setiap perkara yang Nabi Muhammad SAW tidak buat sebagai bidaah dan sesat,” katanya.

Mengenai amalan mengadakan majlis tahlil pada hari Khamis malam Jumaat, katanya selain berasaskan kelebihan malam Jumaat, ia mempunyai kaitan dengan pada zaman dulu, Jumaat adalah hari cuti menyebabkan masyarakat memilih hari itu.

Sepanjang Ramadan pula, katanya majlis tahlil semakin kerap diadakan kerana kelebihan beribadat sepanjang bulan ini mendapat pahala berlipat kali ganda.


Tahlil arwah:

Pertama: Amalan tahlil merupakan amalan yang baik dan berpahala kerana ia dipenuhi dengan zikir dan bacaan ayat-ayat al-Quran. Setiap huruf dan ayat al-Quran yang dibaca akan diberikan pahala oleh Allah sebagaimana sabda Baginda bermaksud: Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia akan mendapat satu kebaikan dan satu kebaikan digandakan sepuluh, aku tidak katakan bahawa ‘alif lam mim’ satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf. (Riwayat Tirmizi)

Selain itu, Rasulullah bersabda bermaksud: Barang siapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab Allah maka dituliskan baginya satu kebajikan yang berlipat ganda, dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada hari kiamat. (Riwayat Ahmad)

Jadi pahala daripada amalan dan doa dalam tahlil akan sampai kepada si mati dan dapat memberi manfaat kepadanya. Dalam kitab Fatawa Syar'iyah karangan As-Syeikh Hasanain Makhluf, bekas Mufti Mesir, dinukilkan kata-kata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah: “Bahawasanya mayat itu mendapat manfaat daripada seluruh ibadat badan seperti solat, puasa dan bacaan sebagaimana dapat manfaat daripada ibadat harta seperti sedekah dan seumpamanya.” Oleh itu kita boleh menghadiri majlis tahlil dan ia tidak dikatakan sebagai bidaah.

Kedua: Menetapkan hari-hari tertentu untuk mengadakan tahlil seperti hari ketiga, ketujuh dan 100 adalah perbuatan bidaah yang tiada nas dalam al-Quran atau sunah, lebih-lebih lagi apabila ia diyakini mendapat ganjaran tertentu apabila dilakukan pada hari-hari tertentu.

HUKUM mengadakan majlis tahlil adalah harus, asalkan tidak mengambil harta si-mati tanpa hak. Keluarga si-mati pula tidak dibebankan dengan bayaran yang tinggi.

Sementara jiran tetangga boleh membantu keluarga si-mati dengan menyediakan makanan untuk tetamu yang majlis berkenaan.

Mengenai hadis 'terputus amalan si-mati kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan' adalah benar.

Bagaimanapun, ia tidak menafikan doa orang lain yang mendoakan kepada kesejahteraan roh si-mati, lebih-lebih apabila ia datang atas usaha anak atau keluarga si-mati.

Dalam al-Quran sendiri Allah menyarankan agar kita berdoa kepada orang yang sudah kembali lebih awal daripada kita seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang-orang Islam yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa-dosa saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dalam iman dan jangan Engkau jadikan kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan Rahmat-Mu.” (al-Hasyr:10