Khamis, 4 Oktober 2012

Bila dia bersuara..

Salam untuk semua. Hari ini hari keempat saya dan Irfan berada di dalam wad. Sesuatu yang telah menjadi rutin dan kebiasaan bagi kami untuk berada di sini setiap kali Irfan menjalani rawatan kemoterapi. Rawatannya telah memasuki protokol yang ketiga yang disebut sebagai M Protocol. Semalam adalah hari yang agak sibuk bagi saya kerana Irfan mengalami kesan sampingan yang agak teruk selepas dia menjalani rawatan IT nya. Seperti yang pernah disebut dalam tulisan saya sebelum ini, rawatan IT adalah rawatan kemoterapi yang memerlukan doktor menyuntik ubat kemoterapinya ke bahagian tulang belakang Irfan. 3 jam selepas Irfan menjalani rawatan itu, dia mula muntah-muntah. Dan saya memang telah bersedia dengan keadaan ini kerana inilah kesan sampingan yang kerap dialami oleh Irfan setiap kali dia mendapat rawatan IT. Suhu badannya agak tinggi semalam tetapi menjelang malamnya suhu badan Irfan kembali normal. Alhamdulillah..... mungkin kesan ubat tersebut telah berkurangan. Dia nampak agak letih kerana kerap muntah tetapi masih mampu senyum dan ketawa melayani cerita-cerita kartun di tablet kesayangannya. Alhamdulillah hari ini Irfan lebih sihat dan segar dari semalam. Kami masih belum dibenarkan pulang kerana Irfan masih perlu dipantau oleh doktor. Ada beberapa perkara yang masih perlu dilakukan berkaitan rawatannya sebelum Irfan dibenarkan pulang. Seperti biasa, hari ini dia senyum dan ketawa bersama saya melayani cerita Karoot Komedia X di tabletnya. Kemudian saya biarkan Irfan melayani ceritanya sendirian. Tiba-tiba, Irfan bersuara.."bu,Ipan takut bila kemo ni dah abis nanti.." Saya pandang Irfan. "Kenapa cakap macam tu pulak?" saya cuba menyembunyikan rasa sebak dalam hati ini. "Sebab ramai anak-anak dalam wad..." dia berhenti seketika dan memandang wajah saya."meninggal dunia lepas habis kemo..." sambung Irfan dalam nada yang perlahan tapi cukup menyentuh jiwa saya."Ipan selalu dengar orang cerita dengan ibu pasal tu..Ipan takut.." Saya terdiam bila dia bersuara. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya waktu itu. Bercampur-campur dengan bermacam jenis perasaan."Ipan lain..tak sama macam yang Ipan dengar tu, anak ibu kuat kan.." akhirnya saya bersuara,mencari ketenangan untuk dia dan diri sendiri. Irfan angguk dan senyum dengan kata-kata saya. Selepas itu dia kembali ceria bermain dengan tabletnya. Bagaikan tiada apa yang telah berlaku. Saya mencari ketenangan dalam jiwa saya yang mula sebak dengan kata-kata Irfan tadi. Mungkin Irfan selalu terdengar saya bercerita tentang kisah-kisah itu dan dia amat memahaminya.Sekali lagi saya memaksa diri berlawan dengan kelemahan mental saya. Memujuk dan memotivasi diri sendiri. Meletakkan sepenuh keyakinan dan pengharapan kepada Dia Yang Maha Berkuasa.Semoga Irfan berjaya mengharungi semua ini. Sesungguhnya saya sedar betapa kerdil dan lemahnya saya apabila tidak mampu berbuat apa-apa. Saya akan terus berdoa untuk Irfan. Dan bersangka baik kepada Allah..sesungguhnya Allah akan memakbulkan doa seorang ibu kepada anaknya.Amin...

3 ulasan:

  1. Ipan be strong ok.....insya Allah....doa seorang ibu untuk anaknya akan dimakbulkan Allah....be strong lart....

    BalasPadam
  2. Allah akan makbul doa seorang ibu untuk anaknya, Insya Allah.

    BalasPadam
  3. lat... kuatkan semangat ye.. akak doakan moga diberikan kekuatan pada family lat.. ipan, moga cepat sembuh...

    BalasPadam