Selasa, 2 Oktober 2012

Kembara satu perjuangan

Salam untuk semua.Hari ini,2hb Oktober 2012,genap 3 bulan 17 hari sejak Irfan pertama kali disahkan mengidap leukimia.Hari ini juga,hati saya terdetik untuk berkongsi sesuatu di blog ini setelah sekian lama tenggelam dalam kesibukan menguruskan rawatan Irfan di PPUM. Sewaktu saya menulis ini pun,saya berada di Wad Pediatrik Onkologi PPUM untuk menemani Irfan menjalani rawatan kemoterapinya.Siapa sangka bahawa kehidupan saya dan Irfan akan berubah serta-merta. Dulu saya sibuk dengan kehidupan sebagai seorang pendidik,kini saya sibuk pula dengan kehidupan sebagai seorang jururawat@doktor peribadi untuk Irfan.Saya akan kembali sebagai pendidik,itu memang pasti tetapi saya akan biarkan keadaan dan masa yang akan menentukan. Buat masa sekarang,biar Irfan menjadi keutamaaan. Siapa sangka yang kehidupan di dalam wad telah menjadi sebahagian dalam hidup saya sekarang ini. Boleh dikatakan bahawa Wad Pediatrik Onkologi telah menjadi rumah kedua bagi saya dan Irfan.Sejak 3 bulan yang lalu,di sinilah tempat saya dan Irfan berulang-alik.Wad,hospital,saya,Irfan..kami bagaikan tidak boleh dipisahkan lagi.Terikat dan diikat..tapi saya sedar tentang satu perkara,belajarlah dengan kehidupan,menerima dengan tenang dan sabar dalam perjuangan.Perlahan-lahan saya mula menerima dan belajar dengan takdir ini.Sukar sebenarnya tetapi apabila hati mula menerima,keadaan menjadi makin tenang dan terurus. Memang itu doa saya kepada Dia,berikan saya kekuatan,ketenangan dan ketabahan dalam perjuangan ini.Sebab Irfan perlukan saya dalam dunianya yang dikelilingi dengan segala jenis ubat.Tiada siapa yang tahu apa yang ada dalam fikiran seorang anak kecil seperti Irfan setiap kali dia berhadapan dengan rawatan kemoterapinya. Tiada siapa yang dapat mengagak sejauh mana ketabahan dan kekuatan dia dalam menghadapi semua takdir Allah untuknya, dan kerana itulah saya perlu 1000 kali lebih kuat,tabah dan tenang untuk dia.Biar saya turut merasai segala perasaan yang tidak dapat digambarkan oleh Irfan. Satu perkara yang saya belajar sepanjang saya dan Irfan berada di dalam wad,kita perlu sentiasa kuat,mental dan fizikal.Saya tidak terlalu risau dengan keadaan fizikal saya kerana banyak yang boleh dilakukan untuk memastikan fizikal saya terjaga. Telanlah vitamin dan jaga pemakanan,insyaAllah fizikal saya akan ok. Yang menjadi kerisauan saya ialah kekuatan mental,dan saya akui saya telah banyak kali dikalahkan oleh kelemahan saya menguruskan mental saya sendiri. Bayangkan bila setiap kali saya berada di dalam wad bersama Irfan, mental saya akan mula ditekan dengan pelbagai cerita sedih tentang anak-anak yang mengidap penyakit sama seperti Irfan. Ada cerita tentang anak yang telah tamat rawatannya tetapi kembali semula ke hospital kerana 'relapse'.Ada cerita tentang anak yang telah berkali-kali 'relapse',berulang-alik ke hospital selama 9 tahun untuk mendapatkan rawatan dan sehingga kini masih tidak sembuh dari penyakitnya. Ada cerita tentang anak yang telah tamat rawatannya,kembali semula ke hospital selepas 2 tahun sihat dan sembuh sepenuhnya, disahkan sakit semula dan akhirnya meninggal dunia.Ya Tuhan..mental saya gagal untuk bertahan bila cerita-cerita ini dikongsi bersama saya. Bukan saya yang mencari cerita tetapi itu realiti yang perlu saya hadapi bila saya berada di dalam wad. Dan bila saya gagal menangani mental saya, fikiran akan mula sesak dan sebak. Hingga ke hari ini saya masih belajar menangani mental saya yang lemah ini. Dan sesungguhnya ia amat sukar kerana berdepan dengan realiti kehidupan dalam wad. Ya Allah,moga kekuatan ini akan hadir juga walaupun ia datang perlahan-lahan.Amin.. Doakan saya,kawan-kawan..sesungguhnya itu yang sangat saya perlukan ketika ini.Doakan agar saya terus tabah dan tenang melalui semua ini. Esok Irfan akan menjalani rawatan IT Methotrexate (sejenis ubat kemoterapi yang disuntik ke tulang belakang) dan BMA (pengambilan semula air sum sum tulang). Mudah-mudahan Allah permudahkan segala urusannya esok. Semoga Allah melindungi Irfan dan saya dalam setiap langkah kami. Sekali lagi saya pinta...doakan kami,doakan kami,doakan kami....

5 ulasan:

  1. Salam lat, saya sangat terharu. Moga Allah berikan kekuatan kpd anda utk berjuang memberikan yg terbaik kpd irfan

    -asan

    BalasPadam
  2. salam lat...bru hari ni berpeluang membaca blog awk.. moga irfan cpt sembuh.. tabah dan kuatkan hati awk ye ...insyaAllah...doa sy sentiasa ada utk awk dan irfan.....

    BalasPadam
  3. Semoga ipan sihat dan cepat sembuh

    BalasPadam
  4. Doa dan harapan aku sntiase bersama ko n irfan..w/pun jauh di mata..tapi ingatan aku sntiase besama ko. Mg ko terus tabah menghadapi dugaan Allah yg maha hebat ini. Percayalah..Allah menguji seseorang itu setanding dengan kemampuan dan kekuatan pada diri HambaNYA itu. Terus tabah ye wahai sahabatku..

    BalasPadam