Rabu, 13 Mac 2013

My wonderful journey...

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang... Salam untuk semua.Hari ini 12hb Mac 2013,hati saya terdetik untuk berkongsi sesuatu.Kembali menulis di blog saya yang tidak seberapa ini untuk berkongsi sedikit pengalaman yang diberi oleh Dia kepada saya.Waktu ini saya berada di wad sekali lagi menemani Irfan.Tanpa sedar,perjalanan saya dan Irfan telah mencecah 8 bulan.Kami berulang-alik ke hospital,minggu demi minggu dan kini telah 8 bulan Irfan menerima rawatan di PPUM.Saya tau perjalanan kami masih jauh,bertatih perlahan-lahan,sedikit demi sedikit,namun saya bersyukur kerana Allah beri kami ketabahan dan kesabaran untuk mengharunginya.Setiap kali saya berada di wad,saya akan ambil peluang untuk belajar sesuatu di sini.Satu yang saya pasti,ramai lagi hamba Allah yang lebih besar ujiannya,lebih tabah dan lebih kuat dari saya.Di sini saya belajar erti syukur.Sesungguhnya masih ramai yang lebih berat ujiannya berbanding apa yang saya lalui sekarang ini.Dan jauh di sudut hati,saya berdoa semoga mereka turut diberi ketabahan dan kekuatan untuk menempuhi ujian Allah ini.Permulaan tahun 2013 ini saya diuji lagi olehNya.Satu per satu ujian Allah itu hadir dan menuntut saya agar lebih kuat dan tabah setiap masa. Benarlah apa yang selalu dikata,sebaik-baik dan sehebat-hebat perancangan adalah perancangan Allah SWT.Dan saya redha apabila perancangan Allah mengatasi segala-galanya. Sebenarnya saya merancang untuk kembali bertugas pada tahun ini setelah saya bercuti separuh gaji sejak bulan Jun tahun lepas. Apa yang berlaku ialah saya hanya sempat ke sekolah selama 2 hari kerana Irfan dimasukkan ke wad akibat demam.Kali ini demam Irfan lebih menguji saya. Pada hari saya tinggalkan Irfan di wad seketika untuk bertugas di sekolah,ujian Allah itu hadir. Sebelum saya pergi,Irfan nampak sihat,demam beransur pulih dan dia nampak gembira dan ketawa bersama sepupunya. Namun bila saya kembali semula ke wad,Irfan lupa saya ibunya.Matanya nampak seperti orang yang hilang arah. Pertuturannya sukar difahami. Dia bercakap tetapi tiada siapa yang memahami butir-butir percakapannya.Air mata saya gugur laju bila doktor bertanya Irfan mana ibu,dan dia menjawab "tak tahu".Sedangkan ketika itu saya berdiri di sebelah Irfan sambil memegang tangannya.Waktu itu memang tubuh saya lemah longlai.Tak terungkap dengan perkataan perasaan saya ketika itu.Saya tinggalkan dia kurang dari 2 jam,dan bila saya bertemu dia semula,dia langsung tidak kenal saya ibunya.Dia seolah-olah tidak kenal siapa saya,tidak tahu dia berada di mana dan paling menakutkan saya,Irfan tidak tahu menyebut perkataan 'ibu'.Hari itu juga Irfan dibawa menjalani CT Scan.Dia disyaki mengalami pendarahan atau jangkitan kuman di dalam otak. Saya berusaha mengumpul sisa-sisa ketabahan yang ada,bangkit semula untuk menemani Irfan menjalani rawatan demi rawatan demi mencari punca mengapa Irfan seperti hilang ingatan.Esoknya Irfan menjalani prosedur pengambilan air tulang belakang untuk mengesan sekiranya ada jangkitan kuman di dalam otak.Saya benar-benar berserah kepada Allah ketika itu.Lemah kerana tidak berdaya dan tidak mampu berbuat apa-apa.15 hari kami di hospital dan syukur kepada Allah,ingatan Irfan kembali pulih.Dia menjalani rawatan ECG dan MRI untuk mengesan sebarang aktiviti yang tidak normal di otak dan Alhamdulillah segala-galanya masih baik.Doktor akhirnya membuat rumusan,punca Irfan mengalami gangguan ingatan adalah disebabkan oleh kesan sampingan dari rawatan kemoterapinya selama ini. Sejak kejadian itu,saya mengambil keputusan untuk menyambung semula cuti separuh gaji saya.Pengalaman ini benar-benar menyedarkan saya.Saya bagaikan kehilangan Irfan seketika bila dia lupa saya ibunya.Biarlah saya bercuti sementara dari bertugas demi satu-satunya Irfan yang saya ada.Sejak kejadian itu,Allah berterusan menguji kami.Sesungguhnya di setiap ujian Allah itu saya berusaha untuk menempuhinya dengan redha.Sebab dengan redha,hati saya kembali tenang.Kemoterapi yang dilalui Irfan kali ini menyebabkan dia kerap dimasukkan ke wad kerana demam dan kekurangan darah.Minggu lalu Irfan dimasukkan ke wad kerana demam selama 4 hari,pulang ke rumah selama 6 hari dan hari ini dia dimasukkan semula ke wad kerana demam lagi. Kami diuji lagi kali ini kerana Irfan demam berpunca dari jangkitan kuman di dalam darahnya.Doktor mengesahkan 'chemo port' Irfan dijangkiti kuman dan esok doktor akan menjalankan prosedur menanggalkan 'chemo port' tersebut.Rawatan kemoterapi Irfan ditangguhkan seketika sehingga Irfan sihat dan bebas dari jangkitan kuman.Sekali lagi perancangan Allah itu mengatasi segalanya.Saya sebenarnya merancang untuk kembali bertugas selepas cuti separuh gaji saya tamat awal Mac ini.Namun saya mengambil keputusan untuk menyambung cuti tanpa gaji pula selepas ini memandangkan kondisi Irfan yang tidak mengizinkan saya untuk kembali bekerja.Saya serahkan segala-galanya kepada Yang Maha Esa.Ada yang kurang bersetuju apabila saya mengambil cuti tanpa gaji,tapi kalau diberi pilihan antara anak dan kerjaya,saya pasti semua tahu akan jawapannya.Doa saya agar perjalanan kami selepas ini dipermudahkan Allah,dimurahkan rezeki dan semoga ketabahan dan kesabaran itu masih bersama kami.Irfan dunia saya,dan saya dunia Irfan.Selagi Allah memberi keizinanNya,saya dan Irfan akan terus melangkah perlahan-lahan dalam perjuangan kami ini.Saya bersyukur kerana dunia Irfan dikelilingi dengan kasih sayang yang tidak pernah malap.Dia kehilangan satu ruang,namun ruang itu bagaikan tertutup apabila masih ramai yang sudi menyayangi dan mengasihi Irfan seadanya.Saya yakin Allah Maha Adil,Maha Agung dan Maha Bijaksana.Sekali lagi doakan kami kawan-kawan.Perjalanan saya dan Irfan masih jauh.Iringi kami dengan doa kalian agar kami terus kuat dan tabah sepanjang perjalanan kami ini.Amin Ya Rabbal Alamin..

2 ulasan:

  1. semoga akak terus tabah... bukan sahaja utk akak... tapi lebih untuk irfan....

    BalasPadam
  2. teruskan perjuangan dengan penuh ketabahan dan kesabaran....

    BalasPadam